Pertanian adalah perniagaan..



“Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu”. Itulah perumpamaan paling tepat untuk petani berjaya Zakaria Ahmad, 53, yang mampu meraih pendapatan lumayan dengan mengusahakan pelbagai aktiviti berasaskan pertanian termasuk kebun kecil getah, menternak udang galah dan ikan keli. Dengan menggunakan tulang empat keratnya, beliau kini mampu tersenyum bangga apabila semua hasil kerja tangan dan titik peluhnya berjaya menampakkan hasil menguntungkan apabila meraih pendapatan mencecah RM7,000 sebulan. Anak jati kelahiran Kampung Tengah Mukim Jeneri di sini, berkata selepas lebih 37
tahun bekerja membanting tulang menyara keluarga dengan pendapatan dari menoreh getah di kebun pusaka bapanya, beliau bertekad untuk meningkatkan taraf hidup dengan mengusahakan aktiviti pertanian alternatif yang mampu menjana sumber kewangan.

Zakaria yang turut memenangi beberapa anugerah termasuk Pekebun Kecil Jaya sempena sambutan Hari Peladang tahun lalu dan anugerah daripada Lembaga Getah Malaysia (LGM), berkata beliau mula menoreh getah sejak berusia 16 tahun dan ketika itu harga pasaran komoditi berkenaan terlalu rendah dan kadangkala
pendapatannya cukup sekadar menyara keperluan ahli keluarganya. Beliau berkata, sehubungan itu, beliau nekad untuk menyertai skim LGM yang melatih pekebun kecil getah mencuba teknologi menggunakan gas etilina untuk merangsang pengeluaran susu getah berganda berbanding kaedah konvensional
yang diguna pakai sebelum itu. “Rezeki saya semakin baik apabila teknologi yang diperkenalkan LGM mampu menambah pendapatan, selain mampu melakukan aktiviti lain yang mampu menjadi pendapatan sampingan.

“Jika dulu, saya terpaksa menoreh getah 28 hari sebulan untuk memperoleh pendapatan tidak lebih RM2,000, kini dengan teknologi gas rangsangan itu pendapatan saya mencecah RM5,000 sebulan dengan hanya keluar menoreh sembilan atau 10 hari,” katanya. Zakaria berkata, beliau adalah pekebun kecil getah pertama di kampungnya yang mencuba teknologi LGM, hasil kejayaannya menjadi contoh dan pemangkin kepada penduduk lain untuk merasai gelombang kemajuan teknologi baru yang boleh diaplikasi dalam pertanian moden. “Sikap positif menerima pembaharuan teknologi sangat penting untuk memperbaiki
taraf hidup petani kerana pada masa ini stigma takut untuk menerima pembaharuan masih menebal di kalangan kelompok petani kerana mereka bimbang pokok getah yang menjadi sumber utama pendapatan rosak sekali gus menyebabkan pendapatan terjejas. “Kejayaan saya hari ini membuka mata lebih ramai pekebun kecil getah khususnya di Jeneri untuk menggunakan kemudahan disediakan kerajaan untuk kesenangan masa depan,” katanya. Bapa kepada empat cahaya mata itu berkata, selain teknologi, LGM membekalkan
ilmu torehan yang betul bagi menjamin jangka hayat pokok dan kulitnya tidak terjejas serta terhindar daripada serangan penyakit. Dengan teknologi rangsangan gas itu, beliau mempunyai masa lapang yang boleh digunakan untuk melakukan aktiviti lain termasuk menternak ikan keli secara kecil-kecilan diusahakan di
belakang rumahnya lebih lapan bulan lalu. “Jika tidak keluar menoreh getah, saya akan menghabiskan masa membersihkan kolam ikan keli di belakang rumah. Kini saya mempunyai tujuh kolam dengan setiap satu boleh memuatkan kira-kira 1,500 ekor ikan” . Permintaan pasaran terhadap ikan keli semakin baik kerana sebelum ini ia hanya digemari masyarakat kampung, tetapi sejak kebelakangan ini, permintaan ikan keli semakin meningkat dan kadang-kala bekalan tidak mencukupi untuk menampung kehendak pasaran. Hasil ternakan ikan kelinya dijual secara runcit di pasar malam atau kepada pengusaha restoran dan gerai di sekitar kampungnya. “Hasil jualan ikan keli saya mampu memperoleh pendapatan antara RM 1,000 hingga RM 1,500 sebulan dan wang itu disimpan untuk kegunaan hari tua di samping membiayai pengajian anak
pada masa akan datang,” katanya. Selain menternak ikan keli, beliau juga terbabit dengan skim penternakan udang galah secara berkelompok di kampungnya, sekali gus membolehkannya memperoleh pendapatan tambahan RM 600 sebulan sebagai bayaran gaji menjaga tiga kolam ternakan, selain menikmati hasil ternakan. “Saya bersyukur dengan nikmat kesihatan yang Allah berikan kepada saya kerana dalam usia separuh abad ini saya masih bertenaga melakukan tiga kerja dalam satu masa tanpa mengharapkan bantuan sesiapa.“Malah, saya bangga kerana dapat membuktikan kepada masyarakat bahawa kerja bergelumang dengan selut, lumpur, semak dan bau hanyir ini mampu memberi rezeki yang berkat kepada keluarga,” katanya.

2 comments:

  1. Pertanian menjanjikan pulangan yang berbaloi jika kita komitted dengan apa yang kita kerjakan.

    ReplyDelete
  2. "Salam tuan, pihak kami baru membangunkan sebuah portal yang fokus membicarakan masalah usahawan melayu.

    Harap tuan dapat pautkan laman kami www.usahawanmelayu.my di blog tuan terima kasih"

    ReplyDelete