Jika kita membaca banyak tulisan terutama di kebanyakan blog dan forum, sebahagian besar menulis pro dan kontra di antara berniaga sepenuh masa dan makan gaji. Malah ada sesetengah yang lantang pula berkata, orang yang makan gaji itu amat selesa dengan kedudukan mereka dan bersifat penakut.
Saya tidaklah mahu berkata begitu, malah jika diberi peluang, saya juga mahu bekerja makan gaji. Selesa? Ya, apa salahnya mempunyai keadaan yang selesa? Bagi saya, yang berkata sinis terhadap orang yang makan gaji hanyalah mahu memotivasikan mereka sahaja untuk hilangkan takut bagi menceburi perniagaan. Kalau sudah takut, tidak perlulah menghina pekerjaan selain perniagaan.
Bagi saya, tidak kisah kita makan gaji atau berniaga sepenuh masa, yang penting adalah apakah niat kita? Jika kita niat makan gaji atau berniaga untuk wang semata-mata, maka di situlah bermulanya kepincangan. Yang makan gaji mudah tidak puas hati, manakala si usahawan pula sering berasa tidak cukup.
Jika niat kita ikhlas kerana ALLAH, apa sahaja yang kita lakukan akan menjadi lancar walaupun datang seribu jenis rintangan dan ujian. Ia bukan mengenai kerja atau usaha yang dilakukan, tetapi ia mengenai sejauh mana kita memiliki hati yang kuat untuk menghadapi cabaran?
Tidaklah perlu berkata apabila kita berniaga sepenuh masa, kita akan keluar daripada mulut singa (bos, politik pejabat…) kerana apabila kita menjadi usahawan, rintangan yang lebih besar sedang menanti di hadapan. Pelanggan yang cerewet, keadaan ekonomi tidak menentu, modal semakin menyusut, semangat diri yang naik turun dan 1001 lagi cabaran.
Berbalik kepada tajuk artikel ini, mengapa usahawan memilih jalan perniagaan sepenuh masa? Adakah kerana kerja makan gaji itu satu pekerjaan yang hina? Adakah kerana jumlah pendapatan rendah? Jawapannya bukan kerana itu semua. Tetapi sebenarnya usahawan sepenuh masa hanya mahukan satu perkara sahaja:
KEBEBASAN
Mereka bebas menentukan pergerakan mereka. Mereka bebas menentukan waktu kerja mereka. Mereka bebas melakukan inovasi tanpa batas dan halangan. Mereka bebas daripada kekangan birokrasi jabatan. Mereka bebas bersuara. Mereka bebas mencuba sesuatu yang berisiko. Dan mereka bebas menentukan bentuk usaha yang mereka perlu buat.
Itu sahaja sebabnya. Bukan kerana kerja makan gaji itu hina, tidak bagus atau seperti yang dikatakan oleh kebanyakan orang. Usahawan sepenuh masa memerlukan masa yang banyak untuk melakukan banyak usaha. Kalau mereka bekerja makan gaji, maka secara automatik mereka akan tersekat dengan pekerjaan rasmi yang membataskan pergerakan mereka di dalam melakukan perniagaan.
Kepada anda yang makan gaji, usahlah gundah gulana dengan diri sendiri hanya kerana orang lain menjadi usahawan tetapi tidak anda. Tidak semua orang sesuai menjadi usahawan, kerana usahawan juga memerlukan pekerja yang setia dan bersungguh-sungguh.